Mimpi sedih Hani Karmila
AWAL pagi kelmarin, dua beranak itu begitu riang dalam perjalanan ke lapangan terbang apatah lagi hampir dua tahun mereka tidak bercuti bersama. Malam sebelumnya, mereka rancak bercerita, berkongsi keseronokan antara bapa dan anak.
Barangkali, apa yang bermain di fikiran Hani Karmila adalah keriangan untuk menghabiskan cuti selama seminggu bersama bapa kesayangannya, aktor Hani Mohsin selepas hampir dua minggu tidak bertemu disebabkan kesibukan lelaki itu.
Namun, keriangan yang diharapkan Karmila bertukar menjadi mimpi sedih apabila bapanya tiba-tiba rebah ketika mendaftar masuk di kaunter pelepasan sebelum berangkat ke Alor Star, Kedah untuk bercuti di Pulau Langkawi.
Saat mencemaskan itu masih bermain di fikiran anak kecil yang sedang belajar memahami erti sebuah kehidupan. Sangka Mila, bapanya cuma pengsan disebabkan penat bekerja memandangkan Mohsin begitu sibuk dihambat tugasan harian.
Apa saja yang termampu dilakukan kanak-kanak berusia 10 tahun itu? Dalam situasi mencemaskan itu, Mila cuba menggerakkan tubuh bapanya dengan mulut tidak berhenti berdoa agar Mohsin segera membuka mata.
Melihat bapanya yang kaku tanpa sebarang reaksi, mendorong Mila untuk menghubungi ibunya, aktres dan produser, Datin Seri Tiara Jacquelina bagi memaklumkan keadaan bapanya. Tangisan mula menemani anak kecil itu, mujur orang ramai yang berada di situ ringan menghulurkan bantuan.
“Kami tiba di lapangan terbang agak lewat kerana terlambat bangun tidur. Malam sebelum itu, kami berbual panjang dan ayah hanya sempat tidur dua jam kerana sibuk mengemas untuk ke Langkawi. Itulah ayah yang sentiasa menggembirakan hati saya setiap kali kami bersama.
“Di lapangan terbang, ayah meminta supaya saya cepat dan itulah perkataan terakhir daripadanya. Tiada pesanan akhir lain daripada ayah,� kata Karmila sebak, sambil ditenangkan ibunya ketika ditemui wartawan yang memberikan penghormatan terakhir di kediaman Mohsin di Hulu Klang.
Sikap arwah bapanya yang penyayang dan gemar berlawak kini hanya tinggal kenangan buat si kecil ini. Malah sehingga kini sikap bapanya yang rajin dan cerdik itu memang amat dikagumi.
“Ayah seorang lelaki dan bapa yang baik. Dia suka bagi saya hadiah dan buat kejutan setiap kali saya pulang ke rumahnya. Ayah suka berlawak untuk menggembirakan hati saya,� katanya.
Bekas isteri Allahyarham, Tiara Jacquelina ketika ditemui berkata, arwah sibuk sejak kebelakangan ini hingga jarang meluangkan masa bersama anak mereka. Oleh sebab itu, dia mencadangkan kepada arwah supaya membawa anak mereka bercuti.
“Sehari sebelum Mohsin meninggal, dia ada menghubungi saya malah suaranya kedengaran cukup gembira. Arwah kata dia sudah menempah tiket kapal terbang dan chalet untuk bawa Mila bercuti kerana mereka sudah lama tidak bercuti bersama.
“Saya sangat terkejut menerima berita dari Mila yang mengatakan bapanya pengsan. Saya tidak fikir sesuatu yang buruk tapi tidak sangka rupanya Mohsin sudah meninggal dunia.
“Bagi saya dia seorang lelaki yang baik dan sangat penyayang terutama terhadap anaknya. Kehilangan Mohsin adalah satu kehilangan yang cukup besar bukan saja kepada saya tetapi dunia hiburan kita,� katanya.
Arwah yang meninggal dunia disebabkan serangan jantung tidak pernah memberitahu Tiara mengenai sejarah penyakit jantung keluarganya. Dia hanya mengetahui mengenai penyakit itu melalui setiausaha Mohsin setelah aktor itu meninggal dunia.
Sepi seorang lelaki
SEHINGGA saat akhir pemergiannya, Mohsin sendirian. Sejak lapan tahun lalu, hidupnya kosong tanpa kehadiran seorang wanita bergelar isteri.
Di tambah pula sejak pemergian ibunya dua tahun lalu, hidupnya menjadi bertambah sunyi. Apatah lagi dia adalah anak tunggal. Setiap kali pulang ke rumah, dia merasakan hidupnya terlalu cukup kosong dan kerap kali dia menyatakan perasaan itu kepada teman rapatnya.
Namun, mereka tidak menyangka kata-kata itu membawa petanda bahawa dirinya tidak akan lama di dunia ini. Mohsin juga pernah berkata kepada beberapa temannya, tiada siapa mahukan dirinya memandangkan dia seorang duda dan hingga ke akhir hayatnya memang Mohsin bersendirian.
Teman-teman menyifatkan Mohsin sebagai seorang yang baik hati, tidak hairan di hari kematiannya teman-teman bertali arus menantikan ketibaan jenazah untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Keadaan di perkarangan rumahnya cukup sesak hingga tetamu yang datang menziarah terpaksa beratur untuk melihat Mohsin yang terbujur kaku di tengah ruang tamu.
Bagaimanapun, dia beruntung meskipun tiada saudara mara bekas isterinya serta suami sudi menguruskan jenazahnya hingga ke saat akhir.
[Ehsan Berita harian]
p/s...sedihnya...dengan kesunyian dia.semoga Allah mengurniakan bidadari untuknya di syurga.AMIN
2 Comments:
At July 30, 2006, Unknown said…
kesian karmila, sedih seh baca story ni...
At July 30, 2006, Unknown said…
This comment has been removed by a blog administrator.
Post a Comment
<< Home