Airmata Amy Search : Korban Rambut Tanda Insaf
ADA yang menyokong, tidak kurang juga memberi reaksi sebaliknya
apabila Amy Search menyatakan hasrat menunaikan umrah. Pelbagai
tanggapan timbul, kononnya pemergian Amy ke Makkah suatu yang pelik
kerana imejnya sebagai penyanyi rock. Namun, semua itu tidak
melunturkan semangat Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman,
49, meneruskan hasratnya.
Ketika di Makkah, Amy sekali lagi diuji apabila mendengar kata-kata
orang mempertikaikan kehadirannya di situ hasil daripada wang
menyanyi.
"Dalam sibuk beribadat, masih ada orang sempat memperlekehkan insan
lain. Saya terdengar perbualan seseorang mempertikaikan kehadiran saya
di Tanah Suci. Barangkali maksudnya saya ini penyanyi, maka wang yang
saya peroleh tidak halal.
"Alhamdulillah, saya sedikitpun tidak melenting kerana umrah urusan
saya dengan Yang Maha Esa. Dia Maha Mengetahui, Maha Penyayang, Maha
Pengasih, Maha Pengampun, Maha Bijaksana dan Maha segala-galanya. Sama
ada saya diterima atau tidak, itu juga hak Allah.
"Yang pasti, sewaktu mengambil keputusan ini dulu hati saya sudah
bulat dan saya berserah dengan apapun dugaan yang bakal ditempuh,"
kata Amy ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Amy berangkat bersama isteri, Hasniza Hassan atau mesra dipanggil
Norish, 26, berkata keinginan mengerjakan umrah terdetik beberapa
tahun lalu tetapi hanya tahun ini berpeluang ke sana.
"Saya anggap ia satu perjalanan yang sudah tertulis dalam kamus hidup
saya. Selaku manusia tidak terlepas melakukan dosa, saya bersyukur
kerana terpilih daripada puluhan juta umat Islam sebagai tetamu Allah
SWT pada usia 49 tahun.
"Ada orang mendapat peluang ini ketika muda, ada yang pergi ketika
sudah berusia dan ada yang tidak sempat langsung. Justeru, saya amat
terharu dan bersyukur kerana menjejakkan kaki ke rumah Allah,"
katanya.
Turut sama dalam rombongan Amy pada 29 Mei hingga 11 Jun lalu, ahli
keluarga termasuk Ustaz Badrul Amin dan isteri. Tiada sebarang
kejadian aneh menguji, bahkan Amy bersyukur perjalanan melakukan umrah
begitu mudah.
"Mula-mulanya ada masalah, itupun di Lapangan Terbang Changi,
Singapura sebelum bertolak ke Karachi, Pakistan kerana penerbangan
ditunda 3 jam. Di Karachi sekali lagi perkara sama terjadi tetapi
semuanya tidak mematahkan semangat saya.
"Selepas mengharungi perjalanan panjang akhirnya kami tiba di Madinah.
Masa itu saya tidak dapat menahan sebak. Lain orang mungkin lain
perasaan mereka, namun saya merasakan saat itu begitu dekat dengan
Rasulullah.
"Paling seronoknya sepanjang mengerjakan umrah saya dapat sembahyang
Jumaat dua kali iaitu di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram,
Makkah.
"Selama empat hari di Madinah, saya berpeluang solat di Raudah, salah
satu taman syurga. Bukan mudah merebut peluang bersembahyang di Raudah
kerana kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung jumlah jemaah
yang ramai.
Ketika tiba di Makkah, Amy mengucap syukur sebaik saja melihat Kaabah.
Katanya, rasa gemuruh serta tidak percaya kerana benda ajaib yang
selama ini hanya dilihat dalam buku dan ditonton di televisyen, berada
di hadapan mata.
"Ia cukup indah hingga saya menangis sekali lagi. Selesai berehat,
saya terus melakukan tawaf. Saya juga mengorbankan rambut. Malah saya
berikrar mahu kekal dengan imej begini selama-lamanya kerana dengan
cara ini hati saya sentiasa terkenangkan Makkah.
"Ketika di Makkah, saya suka melalui pintu 62 dan 58 kerana mudah
berada di barisan hadapan menghadap Kaabah. Pelbagai cerita menarik
saya lalui, tapi yang tidak boleh dilupakan ketika berada ke Gua
Hiraq, tempat wahyu pertama diturunkan. Sungguh ajaib.
"Ketika di puncak Gua Hiraq, tiba-tiba lirik lagu Mentari Di Ufuk
Timur bermain-main di telinga saya. Antara bait-bait lagu yang
berulang kali kedengaran adalah: "Kekal selamanya cintaku dengan
cahayaMu, kekal selamanya tetap dalam ingatanku."
"Saya amat terharu kerana lagu yang selama ini saya nyanyikan tanpa
dapat menghayati maksud sebenarnya, rupanya memuji kebesaran Yang Maha
Esa," katanya.
Mengenai doanya ketika di Makkah, Amy berkata, dia mohon pada Allah
SWT tetapkan hatinya supaya tidak malas sembahyang dan mematuhi segala
yang termaktub dalam Rukun Iman dan Rukun Islam.
"Saya berdoa di hadapan Kaabah supaya keluarga, sahabat termasuk
peminat diberi kebahagiaan dan kebaikan dalam hidup mereka.
"Lebih 25 tahun menjadi penyanyi, saya tidak pernah memesongkan orang
meskipun saya disanjung dan dipuja. Mereka yang meminati suara dan
cara saya menyanyi, semua itu satu anugerah dari Yang Maha Esa.
"Jika saya yang jahil ini diterima sebagai tetamu Allah SWT sekali gus
dapat menjalani ibadah dengan tenang, saya pasti Dia juga menerima
hambanya yang lain seperti saya.
"Saya harap pintu hati peminat dibukakan untuk mengerjakan ibadah ini
termasuk haji. Insya-Allah, saya akan melakukan umrah sekali lagi
tahun ini iaitu ketika Ramadan nanti kerana mahu merasai pengalaman
berpuasa dan beraya di Makkah. Saya juga mengalu-alukan peminat
menyertai saya," katanya.
Sementara itu, Norish yang semakin manis bertudung berkata, dia
ternampak kejadian aneh seekor merpati ketika bersembahyang di Raudah
tetapi dia mahu menyimpannya sebagai rahsia peribadi.
"Untuk mendapatkan kepastian, saya bertanya Ustaz Badrul dan dia
memberitahu ia fenomena biasa di Madinah, apatah lagi merpati burung
kesayangan Rasulullah.
"Satu lagi pengalaman indah sewaktu kami mengunjungi Jabal Rahmah dan
ketika mohon doa agar jodoh kami dipanjangkan, tiba-tiba saja perasaan
kami suami isteri terasa seperti zaman bercinta.
"Saya juga cukup bertuah kerana doa saya untuk menyentuh Hajaratul
Aswad dimakbulkan. Tanpa disangka, sebaik membuka mata tangan saya
sudah memegang batu itu walaupun kiri kanan sesak dengan manusia,"
katanya
Niezam Phg says..
Alhamdulillah.Amy antara artis yang saya kagumi dan minati sejak zaman persekolahan lagi.dan saya bersyukur atas keazamannya untuk berubah dan semoga hidayah ini berkekalan dan menjadikannya seorang hamba Allah yang zuhud...insyallah
Labels: renungan