Penganalisis politik sering ditemani mangsa ke luar negara
Hubungan itu bukan saja tidak ubah seperti pasangan suami isteri, malah penganalisis terbabit pernah beberapa kali menemui ibu bapa mangsa ketika dia berada di kampungnya di Sukhbaatar, Mongolia.
Dia juga membiayai sepenuhnya tiket penerbangan atas nama Altantuya atau mesra dengan panggilan Anna Ana Ang yang dibeli dari sebuah agensi pelancongan di Jalan Raja Chulan di sini.
Selain itu, penganalisis itu yang juga seorang kenamaan (VIP) di negara ini, pernah memasukkan wang AS$30,000 (RM114,000) ke dalam akaun wanita berkenaan melalui sebuah bank di Mongolia.
Difahamkan, mengikut adat Mongolia, sekiranya lelaki dan wanita bersama dan mendapat anak hasil hubungan mereka, pasangan terbabit dianggap sudah menjadi suami isteri.
Ketika mendedahkan hubungan penganalisis itu dengan Altantuya, Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi, berkata apa yang mengecewakannya apabila penganalisis terbabit dalam laporan polis memberitahu, dia langsung tidak mengenali wanita itu, malah mendakwa mangsa cuba mengugutnya.
“Kalau dia tidak mengenali mangsa, bagaimana mereka berdua boleh bercuti bersama di Shanghai, China dan Afrika Selatan tahun lalu serta beberapa negara di Eropah, Mac tahun ini,” katanya.
Menurutnya, Altantuya pernah berkunjung ke negara ini beberapa kali sejak Mac 2004 dan hubungan intim pasangan itu bukan rahsia lagi di kalangan keluarganya.
“Setiap kali bertemu, penganalisis itu akan memberikan Altantuya hadiah seperti barangan kemas termasuk berlian dan pernah memasukkan AS$30,000 ke dalam akaunnya,” katanya.
Beliau juga menyatakan, keluarga Altantuya turut memiliki resit segala pembelian barangan kemas itu dan menyimpan gambar pasangan terbabit yang dirakam ketika mereka bertemu.
Kebiasaannya, apabila Altantuya ingin ke negara ini, kata Syed Abdul Rahman, penganalisis itu akan bertemu dengannya di Shanghai sebelum membawanya masuk ke negara ini.
“Mereka akan menginap di hotel terkemuka di ibu negara setiap kali Altantuya berada di sini,” katanya.
Beliau mendakwa, penganalisis itu juga pernah berjanji untuk membelikan Altantuya sebuah rumah di negara ini sebagai tanda kasih mereka.
Syed Abdul Rahman berkata, hasil hubungan intim pasangan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki berusia setahun empat bulan.
“Bagaimanapun, kanak-kanak ini menderita penyakit ‘Hidrocephalus’ iaitu lebihan cecair di kepala yang memerlukan pembedahan segera dan kini ditempatkan di sebuah hospital di Ulan Bator, Mongolia.
“Kehadiran Altantuya bersama seorang sepupunya, Galochir Uuriintuya, 29, ke negara ini pada 6 Oktober lalu untuk mengadu nasib dengan penganalisis terbabit yang dianggap ‘suaminya’ di samping ingin meminta wang bagi membiayai kos pembedahan yang bernilai AS$5,000 hingga AS$10,000 (RM19,000 hingga RM38,000).
“Malangnya, lelaki terbabit enggan menemui dan menjawab panggilan telefon mangsa. Sepanjang berada di Kuala Lumpur, mangsa turut berikhtiar beberapa kali menemuinya tetapi gagal.
“Mangsa mengupah seorang penyiasat persendirian bagi mendapatkan alamat pejabat dan rumah penganalisis terbabit. Berdasarkan alamat yang diperoleh itu, mangsa ke rumah penganalisis berkenaan di Jalan Setia Jaya, Damansara Heights, tapi gagal menemuinya kerana dia tiada di kediaman berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira jam 7 malam pada 19 Oktober lalu, Altantuya menerima panggilan daripada seorang lelaki India bernama Bala yang memperkenalkan diri sebagai pengawal peribadi penganalisis terbabit.
“Lelaki berkenaan memaklumkan VIP itu ingin menemui mangsa bagi membincang masalah mereka.
“Mangsa yang kegembiraan terus mendapatkan teksi dan ke rumah ‘suaminya’ di Jalan Setia Jaya. Bagaimanapun, menurut pemandu teksi yang membawanya, mangsa ditarik seorang lelaki sebaik keluar dari kenderaan itu dan dibawa masuk ke sebuah Proton Wira merah.
“Kereta itu bergerak ke kawasan tidak diketahui dengan diikuti sebuah jip Suzuki. Pemandu teksi yang masih belum menerima bayaran itu kemudian mendapatkan Bala lalu diberikan RM50. Dia kemudian diarah datang semula keesokannya bagi mendapatkan baki bayaran berikutan mangsa menggunakan teksinya selama sehari bagi mencari suaminya,” katanya.
Syed Abdul Rahman berkata, apabila Altantuya tidak pulang ke hotel, Galochir cuba membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Brickfields tetapi gagal kerana dia tidak boleh berbahasa Inggeris dan terpaksa menghubungi sepupu mangsa, Namiraa Gerelmaa, 22, di Hong Kong bagi mendapatkan bantuan.
“Mereka berdua membuat laporan di balai polis sama keesokannya pada jam 11.48 malam dengan menyatakan Altantuya hilang dan khuatir akan keselamatannya. Galochir turut membuat laporan pada 28 Oktober lalu di balai polis sama memberitahu pasport antarabangsanya disimpan Altantuya kerana kehadirannya ke Malaysia dibiayai rakannya.
“Selepas gagal memperoleh berita mengenai Altantuya, mereka menghubungi Pejabat Konsul Mongolia di Thailand sebelum dirujuk kepada saya. Pada 31 Oktober lalu, saya menemui pegawai polis Brickfields dan bertanyakan hal berkenaan yang kemudian diberitahu kes itu dikendalikan Cawangan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur,” katanya.
Pihaknya bersyukur kerana kes itu dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu oleh D9 Kuala Lumpur sehingga membawa penahanan empat suspek dan penemuan serpihan tulang manusia berselerak di Hutan Simpan Puncak Alam, berhampiran Empangan Tasik Subang, Shah Alam, kelmarin.
Kelmarin, Polis Kuala Lumpur menahan penganalisis itu bagi membantu siasatan kes pembunuhan Altantuya yang ditembak sebelum mayatnya diletupkan dengan bom tangan, bulan lalu.
Lelaki itu ditahan selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk disoal siasat dan diambil keterangan kira-kira jam 11 pagi.
Dengan penahanannya, empat orang, termasuk seorang Cif Inspektor, Lans Koperal wanita dan konstabel ditahan sejak seminggu lalu bagi membantu siasatan.
Niezam Phg says.....
Asyik dia je analisisi masa depan politik orang .ternyata lepas nie berlumba-lumba pula orang nak menganalisisi perjalanan hidup dia.kiranya kes in berprofail tinggi lah. mungkin melibatkan beberapa VIP lagi.so kita tengok sajalah kesudahannya nanti adakan akan berakhir seperti cerita dalam filem tamil...(yang part polis dgt lewat tu!!!) atau pun kes ini di peram sehingga masyarakat lupa...sama sama lah kita saksikan kesudahan drama ini nanti.......
0 Comments:
Post a Comment
<< Home