Blog Niezam Phg

Ada kalanya Allah memberikan kesenangan kepada kita bukan untuk menyenangkan kita, tetapi supaya kita dapat menjadi orang yang menyenangkan orang lain....semoga saya mampu menyenangkan anda ketika di teratak ini...

Wednesday, October 11, 2006

Hasrat Seha peluk anak tak kesampaian




Apabila rombongan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan)menziarahi Allahyarhamah penyanyi Seha di rumahnya di Villa Puteri Kondominium Khamis lalu, jelas sekali keheningan menyelubungi pertemuan yang tidak dirancang itu.

Rombongan Karyawan diketuai presidennya Freddie Fernandez dan turut disertai Datuk Sarimah Ahmad, Nash Lefthanded, Zaibo, Yusni Jaafar, Radhi Khalid, Mazin Siraj dan Syed Mahdi Barakbah, singgah selama 45 minit pada jam 2.30petang untuk bertanya khabar penyanyi yang cukup popular dengan lagu Mulanya Di Sini bersama kumpulan Freedom pada satu ketika dulu.

Freddie yang sememangnya rapat dengan Seha ketika sama-sama memperjuangkan agenda MIM (Music Industry Malaysia) memberitahu semua yang hadir agar merahsiakan kunjungan mereka sebagai menghormati permintaan Seha yang memerlukan privacy dan rehat secukupnya.

"Please don't write about this...I don’t want it to be a circus…," begitulah permintaan Seha di pertemuan terakhirnya itu.

Seha berkata dia masih dalam pengawasan doktor dan tidak boleh terlalu terdedah bagi mengelakkan jangkitan kuman. Antibodinya masih lemah dan sedang menjalani rawatan radioterapi ketika itu.

Walaupun susuk tubuhnya semakin kurus, senyuman manis yang terukir di wajah Seha tetap seperti dulu. Wanita cekal yang berusia 44 tahun itu nampak tenang dengan skaf key biru yang diikat ke belakang.

Dalam nada mencungap kerana serangan asma, wanita yang berusia 44 tahun itu masih cuba melayan tetamunya dengan mesra walaupun sedikit terbatas pergerakannya.

"Saya sudah menjalani rawatan kemoterapi tetapi ianya tidak begitu sesuai dengan saya," kata Allahyarhamah di pertemuan itu dalam nada yang semput dan perlahan.

Seha mendapat tahu yang dia menghidap kanser paru-paru dua bulan yang lepas apabila dia batuk selama berminggu-minggu tanpa sebarang perubahan dan pada ketika, batuknya mengeluarkan darah.

Selepas melakukan ujian mengesan kanser, doktor memberitahunya bahawa terdapat ketumbuhan atau tumor pada tisu-tisu lembut (soft tissues) pada bahagian dalam lututnya yang turut merebak ke bahagian peranakannya.

Seha juga berkata sejurus selepas itu dia diserang asma yang agak teruk dan menyebabkannya menjadi sangat lemah.

"Saya sering berasa tidak berdaya dan saya langsung tidak dapat tidur. Susah untuk melelapkan mata sampai berhari-hari. Keadaan ini berlarutan selama beberapa minggu sehinggalah doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur memberitahu saya bahawa kanser saya sudah teruk," jelasnya.

Rawatan kemoterapi yang dilaluinya gagal memberi kesan positif dan dalam masa beberapa minggu, kanser itu telah menular ke bahagian paru-paru.

Sambil menunjukkan penanda dakwat di dadanya, Seha berkata dia baru selesai menjalani rawatan radioterap dan sepatutnya bertemu dengan doktor di HKL pada hari berikutnya untuk menentukan rawatan selanjutnya.

Berkahwin buat kali kedua

Menurut Seha, dia telahpun mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang tokoh korporat bernama Azmin Thamby Chik tiga tahun lepas.

"Alhamdulillah, saya dapat suami yang baik dan dia begitu mengambil berat tentang diri saya," kata Seha lagi.

Seha berkata dia pasrah dan redha tentang ketentuan Ilahi.

"Tidak ada apa yang hendak dikesalkan. Allah bagi penyakit ini untuk kita berubah. Dia tahu segala-galanya," kata Seha apabila rakan-rakan artis berpesan agar dia tabah menghadapi dugaan ini.

Apabila Nash cuba menganjurkan agar Seha mendapat bantuan Dr Nordin Darus yang pernah mengidap kanser pada satu ketika dulu, Seha hanya mengangguk.

Dalam nada yang sedikit bergetar, Seha memberitahu dia sudah mencuba segalanya.

"Cukuplah…saya dah cuba bermacam-macam. Saya sedang menghafal Asmaul Husna dan baca Quran dan segala ayat yang dapat membantu saya meringankan sakit ini," kata Seha lagi.

Rindukan Misha

Riak wajahnya yang kesakitan tiba-tiba bertukar sedikit ceria apabila dia membuat pengakuan yang dia telahpun berjaya menjejaki dan bercakap dengan anak lelaki sulungnya, Misha Kyrie Lund, 15, yang kini berada dalam jagaan bekas suaminya, Chris Lund Abdullah, di London.

Seha terpisah dengan Misha sejak dia bercerai dengan bekas suaminya Chris Lund pada tahun 1998 dan ketika itu Misha berusia 5 tahun. Chris telah membawa Misha menetap di Indonesia. Peristiwa sedih ini berlaku 10 tahun yang lalu dan semenjak itu Seha tidak pernah berjumpa atau mengetahui keadaan Misha.

"Inilah saja gambar Misha yang saya ada. Kalau saya rindu, saya lihat gambar ini," sambil menunjukkan ke arah potret Misha di ruang tamu.

Menurut Seha, selepas Chris berkahwin lagi, dia terus menghilang bersama Misha tanpa khabar berita. Kerinduan seorang ibu untuk menatap wajah anaknya membuat Seha begitu terseksa. Berbagai cara dilakukan untuk menjejak Misha namun satupun tidak berhasil sehinggalah seorang rakan wartawan, Roslen Fadzil menyiarkan berita Seha mengidap kanser pada akhir bulan lalu.

Abang Seha, Datuk Nordin Abu Bakar dan anak saudaranya, Iman juga turut membantu Seha memaparkan berita ini di Internet.

"Ceritanya begitu menarik macam mana saya dapat bercakap dengan Misha selepas 10 tahun. Kebetulan berita itu disiarkan di Internet dan kawan Misha meletaknya di dalam blog. Misha terus menghubungi kawannya untuk mendapatkan nombor Roslen," jelas Seha yang setia ditemani anak keduanya Karissa Iris Lund, 10 tahun petang itu.

"Berkat bulan Ramadan saya dapat bercakap dengan Misha. Saya bercakap panjang dengan Misha. Saya tidak dapat hendak ceritakan semuanya tapi dia sihat dan dia juga amat rindukan saya," kata Seha dengan air mata tergenang.

Walaupun sekadar mendengar suara anak kesayangannya, ianya sedikit sebanyak dapat mengubat sedikit rindu Seha. Namun jauh di lubuk hati, Seha teringin sekali berjumpa dengan anaknya.

"Saya bersyukur Misha dididik dengan baik, tutur katanya penuh sopan. Yang lebih menggembirakan saya ialah Misha mengaku dia seorang Islam yang taat. Dia mengaku masih menjalani hidup sebagai orang Islam, berpuasa dan mengaji. Saya cukup gembira mendengar berita itu dan dia sempat berkata ayahnya masih seperti dulu. Saya akan bertemu dengan Misha tak lama lagi tapi saya tak mahu orang pemberita tahu..," kata penyanyi kelahiran Pahang pada petang itu.

Namun kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan. Hasrat Seha untuk mendakap anak kesayangannya tidak kesampaian.

Ketika membilang hari untuk bertemu semula dengan Misha yang sudah sekian lama terpisah, Seha yang bertarung dengan kanser paru-paru telah terlebih dahulu menyahut seruan Illahi di pagi Rabu, 11 Oktober di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazahnya di bawa ke rumah abangnya di No. 9, Jalan Kesuma 2, Taman Kesuma, Ampang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Kosas, Ampang selepas Asar.



Niezam Phg says...

Tertutup sudah lembaran diari kehidupan seorang lagi anak adam. sebagai saudara seagama beliau marilah sama-sama menjalankan tanggungjawab kita dengan menyedekahkan al-fatihah semoga rohnya tenang melalui perjalan di aman sana. AL-FATIHAH

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

 
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Hani Mohsin Hanafi.AL-FATIHAH...